Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) diwujudkan pada tahun 60an
oleh Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) yang diilhamkan
oleh YMM Tunku Puan Besar Kurshiah, Raja Permaisuri Agong yang
pertama.
Keanggotaannya hanya untuk pelajar sekolah menengah. Ketika itu,
kurikulum hanya berdasarkan kepada aktiviti keagamaan dan khidmat
masyarakat yang bersifat memberi bantuan kepada golongan miskin.
Pada 17 Jun 1981, PPIM telah dilancarkan dengan rasminya oleh DYMM
Raja Permaisuri Agong Ke 6 Almarhummah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia
Tengku Ampuan Pahang, Tengku Hajah Afzan binti Almarhum Tengku Panglima
Perang, Tengku Muhammad Rahimahallah, di Dewan Canselor Tun Abdul
Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Y.A.Bhg. Toh Puan Norashikin Ismail dilantik sebagai Yang DiPertua PPIM Pertama.
Hari Puteri disambut pada 17 Jun setiap tahun bagi memperingati
kelahiran PPIM dan ia pertama kali diadakan di peringkat kebangsaan
pada 20 Jun 1987.
Pada Hari Puteri 1988, Majlis Pentadbir Kebangsaan PPIM telah
mengiktiraf ‘Puteri Cemerlang’ dan Piala Pusingan bagi Anugerah Tokoh
Puteri telah disumbangkan oleh DYMM Raja Permaisuri Agong Tuanku
Bainun.
Pada 11 September 1993, PPIM dibenarkan bergerak sebagai Pertubuhan
Beruniform di dalam Ko-Kurikulum (GERKO) di semua maktab perguruan di
seluruh Malaysia.
Skuad Puteri telah dilancarkan oleh Y.A.Bhg. Datin Seri Dr. Wan
Azizah Wan Ismail pada 23 November 1996 bagi meluaskan penglibatan
remaja dan wanita lepasan sekolah di dalam kerja-kerja khidmat
masyarakat seperti bantuan bagi mangsa banjir dan program ziarah
hospital.
PPIM sekali lagi menempa sejarah apabila dilancarkan di institusi
pengajian tinggi pada 8 April 2000 oleh Y.A.Bhg. Datin Seri Endon
Mahmood (Allahyarhamah) di Universiti Islam Antarabangsa.
Pada awal tahun 2004. dibawah kepimpinan Y.Bhg. Puan Sri Hajah
Hazizah Haji Tumin (Allahyarhamah), ibu pejabat PPIM telah berpindah ke
Darul Puteri. Perasmian Darul Puteri telah disempurnakan oleh Seri
Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Fauziah binti Almarhum
Tengku Abdul Rashid pada 24 Ogos 2005.
Pada 24 Mac 2007, kekosongan jawatan Yang Dipertua telah diisi oleh
Y.Bhg. Datin Hajah Badiah Abdul Manan setelah menang tanpa bertanding
pada sesi pemilihan 2007-2009.
No comments:
Post a Comment